loading...

Friday, 7 October 2016

Awie Sah Bergelar Suami Sharifah Ladyana




TAHNIAH diucapkan kepada penyanyi dan pelakon terkenal, Awie yang kini sah bergelar suami kepada gadis pilihan hatinya, Sharifah Ladyana Syed Shamsuddin, kira-kira 12.10 tengah hari tadi.



Pasangan ini diijab kabulkan dengan sekali lafaz di sebuah lokasi yang dirahsiakan atas permintaan penyanyi itu.



Awie atau nama sebenarnya, Ahmad Azhar Othman, 48, bersama-sama pasangannya, memilih mengenakan busana pengantin tradisional berwarna hitam di hari bahagia mereka.



Majlis pernikahan turut dihadiri oleh anak-anak Awie, keluarga masing-masing dan rakan terdekat.


05duit1.transformed



05duit1.transformed (1)


Berkongsi cerita mengenai isterinya, Awie mengakui terpikat dengan keikhlasan Syarifah Ladyana menerima dan melayan lima anaknya daripada perkahwinan terdahulu seperti darah daging sendiri.


“Dia wanita yang bersederhana dalam segala hal serta pandai membawa diri. Paling penting, dia bukan saja menerima saya seadanya, malah menyayangi anak-anak saya tanpa syarat.



“Keikhlasan itu yang menambat hati saya untuk menyuntingnya sebagai suri hidup. Bagi saya, kebahagiaan ini bukan untuk saya seorang, sebaliknya kepada anak-anak saya yang perlukan belaian ibu,” katanya kepada BH Online.



Pasangan ini bakal diraikan dalam sebuah majlis resepsi yang akan diadakan di tepi pantai, malam ini.



Ini adalah perkahwinan ketiga buat Awie.



Terdahulu, Awie pernah mendirikan rumah tangga dengan Arni Nazira Anuar pada tahun 1998. Bagaimanapun, perkahwinan itu tidak bertahan lama.



Mereka dianugerahkan dua anak perempuan iaitu Puteri Aleeya Antasha, 16, dan Puteri Aleefa Antasha, 14.



Awie seterusnya berkahwin secara rahsia di selatan Thailand dengan  Rozana Misbun, 38, pada 2005 dan memiliki tiga anak iaitu Putra Ahmad Merrah, 9, Putra Ahmad Rezzki, 7, dan Puteri Qasseh Antasha, 6.



Pada 1 November 2014, Rozana dilaporkan berjaya mendapatkan tuntutan fasak secara taklik terhadap Awie dari pejabat Majlis Agama Islam, Songkhla, Thailand.

Kes pengesahan perceraian mereka masih lagi berjalan di mahkamah syariah dalam negara. – MYNEWSHUB.CCSumber: BH Online

0 comments:

Post a Comment

loading...